Tuesday, December 8, 2009

HARTA PUSAKA BUKAN MILIK KITA




Sengketa Harta Pusaka
Pepata melayu ada menyatakan: Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Mungkin juga boleh ditambah: sebab harta terputus saudara. Lebih-lebih lagi apabila ia bersangkutan dengan harta pusaka.

Kerap kali kita membaca di dada akhbar keluarga itu dan ini berpecah kerana berebut harta pusaka. Ibu dan anak yang dulunya rapat, sekarang tidak bertegur sapa. Adik-beradik yang dulunya bergurau senda, sekarang bermusuhan.

Ada beberapa sebab mengapa ini berlaku:

1.       Si mati tidak meninggalkan wasiat. Atau dia meninggalkan wasiat yang tidak jelas, yang boleh dicabar d ruang mahkamah.

2.      Agku waris tiada pengetahuan dalam ilmu pembahagian harta pusaka dalam Islam (Ilmu Faraidh).

3.      Kekeliruan dalam menangani sebahagian jenis harta pusaka kontemporari, seperti rumah HDB, CPF, insurans dan sebagainya.

4.      Kurang amanah dalam melaksanakan tugas membahagi harta pusaka.

Apabila disebut tentang wasiat, rata-rata masyarakat Islam kita terbahagi kepada dua kelompok: mereka yang tidak ambil peduli tentang wasiat, dan mereka yang bersungguh-sungguh ingin membuat wasiat tetapi tidak tahu cara sebenar melakukannya mengikut landasan Islam.

Wasiat Atas Landasan Syarak
Walaupun wasiat itu adalah sunat, namun ia amat digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. Jika wasiat itu berbentuk pesanan dan nasihat, ia akan membantu ahli warisnya untuk melaksanakan permintaannya kelak. Jika wasiat itu adalah untuk harta, maka ia perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.

1.       Seseorang itu tidak boleh mewasiatkan lebih dari sepertiga dari keseluruhan hartanya. Islam meletakkan had ini agar ahli waris lain juga dapat merasai sebahagian dari harta pusakanya. Jika syarat ini tidak dipatuhi, ia akan menimbulkan permusuhan dan tuduhan bahawa si penerima wasiat sama ada memalsukan wasiat tersebut atau melakukan sesuatu agar si mati mewasiatkan semua atau sebahagian besar hartanya kepada dia.

2.      Penerima wasiat bukan di kalangan ahli keluarga si mati yang berhak menerima harta pusakanya. Islam telah menetapkan, melalui Ilmu Faraidh, siapakah yang layak menerima harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia. Jika mereka juga mendapat bahagian dari wasiat, ia bermakna mereka mendapat dua kali bahagian:

a)      Hak yang telah menentukan untuk mereka oleh Islam.

b)      BahagianBahagian dari wasiat.

Untuk berlaku adil, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mendapat harta pusaka melalui satu jalan sahaja: sama ada melalui pembahagian yang telah ditetapkan oleh Ilmu Faraidh, atau melalui wasiat.

Adakalanya berlaku juga kejadian di mana sebahagian ahli waris tidak bersetuju dengan wasiat yang telah dibuat oleh si mati walaupun ia mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.

Atau mereka mengetahui wasiat tersebut tetapi menyembunyikannya sehingga wasiat tersebut tidak dilaksanakan. Ada juga yang sengaja menahan atau mengambil hak ahli waris lain segara terang-terangan, tanpa segan dan silu.

Harta Adalah Amanah Allah
Sebagai orang Islam, kita perlu sentiasa ingat bahawa harta bukanlah milik kita. Ia adalah milik Allah yang telah mengamanahkannya kepada kita. Bagaimana kita laksanakan amanah tersebut, akan menentukan nasib kita di akhirat kelak. Jika harta yang kita perolehi dari keringat peluh kita bukanlah milik kita, inikan pula harta pusaka yang dating bukan dari usaha tangan kita, tetapi dari jerih payah si mati.

Apa yang telah ditetapkan kepada kita oleh Allah s.w.t, merupakan hak sementara kita di dunia. Tetapi jika kita ambil lebih dari yang telah ditetapkan, kita kelak akan dipertanggung-jawabkan di hadapan Allah kerana mengambil hak orang lain.

Erti kata lain, ahli waris yang tidak amanah dalam menjalankan wasiat dan pembahagian harta pusaka merupakan seorang pencuri dalam pandangan Allah. Harta tersebut akan hilang keberkatan. Ia bukan membawa manfaat, tetapi akan membawa mudarat dan mengundang malapetaka di dunia ini. Sudah tentu kita tidak mahu bencana dan kecelakaan menimpa kita hanya kerana sejumpah wang yang tidak kekal.

Di akhirat pula, Allah mengancam mereka dengan seksaan dan makanan dari api neraka. Sudah tentu kita tidak mahu diseksa dengan azab yang sangat dahsyat hanya kerana beberapa dollar sahaja.

Jernihkan Pemahaman
Marilah kita perbetulkan persepsi kita. Harta pusaka adalah hadiah untuk kita. Apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kita maka kita boleh ambilnya. Apa yang telah ditetapkan untuk ahli waris lain, janganlah ditahan kerana ia bukan hak kita.

Orang yang merahsiakan hak ahli waris akan dituntut oleh ahli waris tersebut di akhirat kelak. Pahala yang dia dapat dari penat lelah ibadahnya di dunia akan diberikan kepada ahli waris yang ditahan haknya itu. Apakah ada perbandingan antara pahala dan harta? Adakah harta lebih baik dan lebih kekal dari pahala?

Kita perlu sentiasa sedar bahawa yang kita cari adalah keberkatan dari harta. Bukan yang mengundang duka nestapa dan permusuhan sepanjang masa.

[Dipetik dari Berita Harian: 6 December 2009, Isnin]


No comments:

Post a Comment